SINGAPURA, 25 Jan – Gagal…… Kerajaan Singapura akan terus mengambil bahagian dalam inisiatif integrasi perdagangan serantau lain setelah AS menyatakan hasrat menarik diri daripada Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang membabitkan 12 negara.

Memetik Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI), laporan itu menyebut Singapura komited untuk meneruskan sistem perdagangan berasaskan peraturan dan integrasi serantau yang lebih luas.

“Perjanjian yang telah dirundingkan oleh pihak TPP adalah satu laluan untuk mencapai hubungan perdagangan lebih kukuh yang akan menggalakkan peluang pertumbuhan dan pewujudan pekerjaan dalam semua negara anggota,” menurut kementerian itu.

Jurucakap MTI berkata, tanpa penyertaan AS, perjanjian TPP tidak boleh berkuat kuasa.

Bagaimanapun, terdapat inisiatif integrasi serantau lain yang masih berjalan termasuk Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau dan cadangan bagi Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik, kata kementerian itu.

“Singapura akan terus mengambil bahagian dalam inisiatif ini,” kata jurucakap itu yang dipetik sebagai berkata demikian.

Presiden AS Donald Trump menandatangani Arahan Eksekutif penarikan diri AS daripada TPPA pada Isnin.

Trump berpendapat Perjanjian TPP (TPPA) akan menyebabkan kehilangan pekerjaan di AS dan aliran keluar dana ke negara lain yang menyertai pakatan berkenaan.

TPPA ditandatangani Singapura dan 11 negara lain pada 4 Feb, 2016 di New Zealand. Pakatan berkenaan tidak boleh berkuat kuasa tanpa penyertaan AS memandangkan ia menyumbang kira-kira 60 peratus daripada gabungan keluaran dalam negara kasar (KDNK) daripada 12 anggota.

Mengikut perjanjian itu, minimum enam negara, yang menyumbang 85 peratus daripada gabungan KDNK 12 anggota, perlu disahkan sebelum perjanjian boleh dikuatkuasakan. – WD MY