PUTRAJAYA, 30 Okt – Malaysia dan Singapura amat mementingkan
kerjasama dalam bidang keselamatan khususnya bagi memerangi ancaman jenayah
rentas sempadan di rantau ini.

Komitmen itu dinyatakan dalam pertemuan antara Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Luar
Singapura Dr Vivian Balakrishnan di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Ini merupakan kunjungan hormat pengenalan Balakrishnan ke atas Ahmad Zahid
bersempena lawatan kerja yang pertama beliau ke Malaysia mulai semalam setelah
memegang jawatan Menteri Luar Singapura pada 1 Okt lalu.

Dalam pertemuan kira-kira 30 minit itu, Balakrishnan diiringi Pesuruhjaya
Tinggi Singapura di Malaysia, Vanu Gopala Menon. Turut hadir Timbalan Menteri
Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri bersempena
lawatan itu, sebagai negara anggota ASEAN dan Pertubuhan Bangsa Bersatu,
Malaysia dan Singapura akan bekerjasama dan komitmen di peringkat serantau
dilaksanakan berdasarkan beberapa platform.

Platform itu ialah Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Jenayah
Rentas Sempadan, Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Dadah, Mesyuarat
Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan dan Mesyuarat
Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Dadah.

Dallam aspek hubungan dua hala, Malaysia dan Singapura
telah menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama Mengenai Dadah
dalam bidang keselamatan pada tahun 2012.

“Di bawah MoU tersebut, satu Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan melibatkan
pegawai-pegawai kanan kedua-dua negara untuk membincangkan mengenai kerjasama
menangani masalah penyalahgunaan dadah”.

Di samping itu, mesyuarat jawatankuasa kerja tersebut juga merupakan
platform terbaik bagi kedua-dua negara membincangkan mengenai cabaran serta
bentuk ancaman baharu di negara masing-masing, termasuk aspek pemulihan penagih
dadah. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY