JOHOR BAHARU, 24 Julai – Singapura hari ini menyangkal dakwaan ia tidak
membenarkan operasi pembenihan awan dilakukan di ruang udara empangan
Sungai Lebam dan Layang di Johor.

Sebaliknya, kata republik itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura
(CAAS) sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) bagi
mempermudah kegiatan penerbangan, termasuak untuk operasi pembenihan awan.

Konsulat Jenderal Singapura di Johor Baharu, dalam kenyataan di sini hari
ini, berkata Singapura tidak dihubungi baru-baru ini berhubung operasi
pembenihan awan, sama ada oleh DCA atau mana-mana agensi lain dari Malaysia.

“Singapura menyokong penuh usaha melakukan pembenihan awan di Johor,
terutama pada musim kering, dan sebelum ini menawarkan diri untuk membantu usaha
memadam kebakaran hutan,” katanya.

Katanya, agensi air Singapura, PUB, juga bekerjasama rapat dengan rakan
sejawatanya dari Malaysia, termasuk Johor.

Kenyataan itu menyebut kedua-dua pihak juga bekerjasama rapat dalam
melakasanakan pelbagai projek, termasuk Bendungan Sungai Johor bagi menambah
sumber air di Johor.

Katanya, dakwaan bahawa Singapura enggan membenarkan operasi pembenihan awan
dilakukan kerana kegiatan itu dianggap menceroboh wilayah Singapura adalah tidak
berasas.

Singapura menyatakan demikian bagi mengulas satu laporan berita semalam yang
memetik Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah
Johor, Datuk Hasni Mohammad sebagai berkata Johor perlu mencari jalan lain
berikutan keengganan Singapura memberi kebenaran untuk melakukan operasi
pembenihan itu.

Paras air di dua empangan tersebut, yang membekalkan air kepada kira-kira
760,000 pengguna, kini mencapai tahap kritikal.

Paras air di empangan Sungai Lebam menurun kepada 9.87m daripada 12.27m,
manakala di empangan Layang merosot kepada 19.72m daripada 23.50m.

Sekiranya paras air di dua empangan itu tidak meningkat beberapa minggu
lagi, SAJ Holdings Sdn Bhd., mungkin perlu mula menjadualkan semula bekalan air,
kata laporan itu. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY