SHAH ALAM,JUN 22:SINGKIRKAN… Perwakilan UMNO di seluruh negara perlu menggunakan pemilihan parti pada hujung bulan ini untuk menyingkirkan petualang dalam parti, kata calon Presiden, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li bagaimanapun enggan menyebut nama petualang itu, namun beliau yakin perwakilan tahu pihak yang dimaksudkannya itu.

“Dalam UMNO ramai petualang dan kita kena lakukan ‘pembersihan’ dalaman. Petualang ini menggunakan kedudukan dalam parti untuk kepentingan diri sendiri, saudara-mara dan kawan-kawan.

“Disebabkan petualang inilah rakyat marah dan benci dan terhadap UMNO. Tiada guna diadakan pemilihan jika akhirnya barisan kepemimpinan yang dipilih tiga atau enam tahun lalu, dipilih sekali lagi,” katanya.

“Ahli UMNO atau rakyat di luar sana mahukan orang lain untuk memimpin parti, bukannya mengangkat sekali lagi barisan pemimpin ketika era pentadbiran Najib (Datuk Seri Najib Razak),” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Tengku Razaleigh di sini, malam tadi.

Tengku Razaleigh berkata, beliau sudah bersedia untuk bersemuka sekali lagi dengan Tun Dr Mahathir Mohamad jika dipilih menerajui UMNO.

“Begitu juga sebagai ketua pembangkang di Parlimen, kita tunggu dahulu, kita tengok siapa menang jawatan (Presiden UMNO). Selepas itu baru saya fikir untuk terima (ketua pembangkang),” katanya.

Sebelum ini, bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, hanya Tengku Razaleigh yang mampu mengetuai UMNO untuk ‘melawan’ serangan Dr Mahathir, Tun Daim Zainudin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.-MY WD