KUALA LUMPUR, 15 Feb – Sahkan…. Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kematian seorang lelaki warga Korea Utara, ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) ke hospital pagi kelmarin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata berdasarkan dokumen perjalanan milik mangsa, lelaki terbabit menggunakan identiti Kim Chol, 46, dan berasal dari Pyongyang, Korea Utara.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung kematian lelaki itu.

“Setakat ini, kita sedang menunggu laporan penuh proses bedah siasat yang akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan, malam tadi.

Kim Jong-Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, yang dibunuh dipercayai menggunakan racun ketika menunggu di aras berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pagi semalam, menggunakan dokumen perjalanan Korea Utara atas nama, Kim Chol.

Mangsa yang berusia 46 tahun, dipercayai diserang seorang wanita mempunyai paras wajah ‘orang Korea’ pada kira-kira jam 8 pagi, ketika menunggu pesawat untuk berlepas ke Macau.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat, berkata wanita terbabit melarikan diri dari tempat kejadian sejurus serangan itu.

Katanya, serangan terbabit menyebabkan mangsa yang berada bersendirian mengalami kesakitan pada bahagian kepala.

“Sambil menahan kesakitan akibat serangan beracun itu, mangsa berusaha mendapatkan bantuan petugas kaunter pertanyaan lapangan terbang, yang kemudian menyediakan ambulans dan mengejarkan mangsa untuk rawatan kecemasan di Hospital Putrajaya.

“Bagaimanapun, apabila tiba di hospital itu, doktor mengesahkan Jong Nam sudah meninggal dunia. Dia dipercayai mati ketika dalam perjalanan.

“Siasatan lanjut masih dijalankan, termasuk menunggu laporan penuh bedah siasat yang akan dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Abdul Samah berkata, punca sebenar kematian mangsa akan dikenal pasti menerusi bedah siasat yang akan dijalankan dalam tempoh terdekat, bagi membantu siasatan.

“Ketika ini, pasukan penyiasat Polis Selangor, sedang meneliti semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di klia2 untuk mendapatkan gambaran sebenar, selain mengenal pasti suspek terbabit. Kita tidak menolak kemungkinan ia dilakukan wanita yang mempunyai mirip rupa paras orang Korea, namun itu masih terlalu awal untuk disahkan,” katanya.

Abdul Samah berkata, ketika kejadian, Jong-Nam dalam perancangan untuk menaiki penerbangan kembali ke Macau pada jam 10.30 pagi selepas tiba ke Malaysia 6 Februari lalu.

Sementara itu, stesen televisyen Korea Selatan, Chosum, melaporkan mangsa dipercayai dibunuh dua ejen wanita Korea Utara yang tidak dikenali, menggunakan jarum beracun di klia2.

Stesen itu mendakwa, dua wanita terbabit kemudian melarikan diri dengan menaiki teksi.

Jong-Nam dan Jong Un adalah anak kepada pemimpin agung Korea Utara, Kim Jong-iI, yang meninggal dunia pada 2011.

Jong-Nam pernah dianggap pewaris pemimpin Korea Utara, namun tidak direstui dan tinggal dalam buangan serta banyak menghabiskan masa di Macau.

Jong-Nam dikenali sebagai peguam bela pembaharuan di Korea Utara, pernah memberitahu akhbar Jepun yang beliau menentang pemindahan kuasa dinasti di negara kelahirannya.

Dalam pada itu, Agensi Berita Korea Selatan, Yonyap memetik sumber negara berkenaan yang mendakwa pembunuhan itu dilakukan ejen agensi perisikan Korea Utara, Reconnaissance General Bureau.

Difahamkan, Jong-Nam adalah anak hasil perhubungan Jong-iI dengan aktres kelahiran Korea Selatan, Sung Hae-Rim. – WD MY