PETALING JAYA, 12 Okt – Pada tahun depan, mana-mana projek pembinaan swasta
yang melebihi RM50 juta dan projek kerajaan yang melebihi RM10 juta wajib menggunakan
kaedah Sistem Bangunan Berindustri (IBS).

Perkara itu di umumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof bertujuan memastikan
reka bentuk pembinaan yang lebih seragam, mengurangkan tempoh pembinaan
sekali gus meningkatkan kualiti pembinaan di negara ini.

“Mana-mana projek bernilai RM50 juta ke atas untuk sektor swasta, kita
bersetuju pada dasarnya untuk mewajibkan kaedah IBS digunakan, kecuali jika
keadaan tidak mengizinkan baru kita buat pengecualian.

“Dengan aplikasi teknologi IBS, kita akan ada standard rekaan, prakelulusan
pelan, khususnya bangunan kerajaan dengan IBS ini yang mampu menjimatkan masa
dan kos pembinaan,” katanya selepas mengadakan Sesi Dialog Tertutup bersama
Syarikat Berprestasi Tinggi (Teras) di Damansara, hari ini.

IBS merupakan satu kaedah pembinaan di mana komponen dikilangkan dalam
persekitaran yang terkawal sama ada di dalam atau di luar tapak yang diletakkan
dan dipasang untuk kerja-kerja pembinaan.

Ditanya mengenai Bajet 2016 yang akan dibentangkan pada 23 Okt ini, Fadillah
berkata kementeriannya berharap kerajaan dapat mengutamakan peruntukan dari segi
infrastruktur bagi memastikan jurang pembangunan di tiga wilayah Semenanjung,
Sabah dan Sarawak dapat dikurangkan.

Beliau berkata kementerian kini sedang berusaha memastikan setiap projek
perluasan jaringan diteruskan dan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan
termasuk Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat yang sudah bermula April lepas.

“Dari segi infrastruktur ini, fokus kita supaya aspek keterangkuman
pembangunan dapat dirapatkan bagi memastikan jaringan perhubungan antara
Semenanjung, Sabah dan Sarawak diperluas sekali gus meningkatkan perkhidmatan
kita kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA),
yang mungkin memberi kesan kepada syarikat pembinaan di Malaysia, beliau berkata
ia perlu dilihat dari sudut positif terutama usaha kerajaan dalam
mengantarabangsakan pakar di negara ini.

“Di sinilah kita nak strategi di bawah CITP (Program Transformasi
Industri Pembinaan), kita boleh memperkenalkan semua profesional dan pakar yang
kita ada dalam bidang tertentu kepada kepakaran luar,” katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY