KUALA LUMPUR, 30 Nov – SEPADU….. Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Shamsiah Kamaruddin berkata Sistem bersepadu dalam talian bagi memudahkan proses pendaftaran dan pengesahan kepada harta intelek bakal dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun 2019.

Pelaksanaan sistem tersebut bertujuan menyeragamkan semua proses berkenaan yang kini diseliakan secara separa manual.

“Ketika ini, MyIPO hanya mempunyai ‘stand alone system’ bagi setiap jenis pendaftaran seperti paten, cap dagangan, rekabentuk perindustrian (industrial design) dan hak cipta yang sememangnya memerlukan jumlah pekerja yang ramai dan memakan masa yang agak lama.

“Melalui penggunaan sistem baharu ini, ia bukan sahaja dapat mengurangkan kos pekerja malah turut menjimatkan penggunaan kertas sekaligus mengurangkan kos yuran pendaftaran sehingga 20 peratus,” katanya pada program “Meet and Greet With Friendly Media”, petang semalam.

Beliau berkata buat masa ini, proses permohonan sudah boleh dibuat melalui dalam talian namun proses makluman pengesahan masih dilakukan secara manual iaitu melalui penghantaran surat.

Sementara itu, Shamsiah berkata sebanyak 220,327 permohonan untuk harta intelek direkodkan dari tahun 2013 sehingga Oktober tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 90,222 permohonan harta intelek adalah dari Malaysia manakala 130,105 permohonan peniaga asing. – WD MY