KUALA LUMPUR 22 Okt – Umno akan memperkenalkan Sistem Biometrik untuk digunakan kepada warga media yang membuat liputan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang akan berlangsung pada 8 hingga 12 Disember depan.

Menurut Setiausaha Kerja UMNO Datuk Ab Rauf Yusof, namun kaedah itu belum lagi dimuktamadkan kerana masih dalam penilaian beberapa aspek tertentu untuk diberi pertimbangan sewajarnya sebelum ianya diputuskan dalam masa terdekat.

Menerusi kaedah berkenaan warga media yang akan membuat liputan kelak akan disaring dengan sistem tersebut sebelum memasuki dewan perhimpunan Agung UMNO dan juga untuk memasuki laman media yang dikhususkan untuk ruang kerja warga berkenaan.

“Kaedah ini juga akan dapat mengenalpasti hanya mereka yang diberi kelulusan oleh agensi media masing-masing untuk membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO 2015. Ini bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan juga pelbagai kemungkinan lain yang kita tidak boleh jangka.

“Apa pun kita melihat pelbagai aspek dalam keberkesanan aliran pengamal media ini supaya mereka dapat melaksanakan tugas dengan baik. Warga media ini umpama bunga dalam taman. Kita berharap kerjasama ini dapat memberi keselesaan kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.

Abd Rauf ditemui media selepas mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama wakil daripada pelbagai agensi media serta pihak-pihak berkaitan bagi melicinkan perjalan Perhimpunan Agung UMNO 2015 yang akan berlangsung November depan.

Abd Rauf berkata pada tahun ini juga sedikit pembaharuan mungkin dilakukan dalam soal liputan di dalam dewan yang mana RTM adalah penyiar rasmi.

“Pada tahun ini RTM adalah penyiar rasmi bagi liputan di dalam dewan. Maksudnya akan ada kerjasama di antara stesen-stesen penyiaran lain dengan RTM. Ini untuk acara di dalam dewan sahaja.

“Ini bagi mengelakkan kesesakan di dalam dewan perhimpunan nanti dan juga keselesaan serta kemudahan kepada warga media. Apa pun mereka akan berbincang dan mencari cara terbaik bagi menjayakan perkara ini,” katanya. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY