PUTRAJAYA, 20 Nov – Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) yang
bakal memodenkan perkhidmatan Jabatan Imigresen, akan dapat mengesan kemasukan
individu yang disenarai hitam pihak berkuasa antarabangsa.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim
SKIN, yang akan beroperasi sepenuhnya Januari tahun depan, akan turut
meningkatkan tahap keberkesanan sistem penyampaian imigresen.

“Sistem yang cekap dan efisien sangat diperlukan dalam menangani isu
keselamatan terutamanya urusan keluar dan masuk ke negara ini dan pengenalan
SKIN membantu memastikan hal itu dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan
berkesan selepas ini.

“Sistem ini juga adalah untuk menyokong usaha kerajaan dalam Program
Pengecualian Visa Amerika Syarikat (US VWP) dan perjanjian Pencegahan dan
Pembanterasan Jenayah Berat (PCSC) yang telah ditandatangani semalam antara
Malaysia dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan Penyerahan
Surat Persetujuan daripada Kementerian Dalam Negeri kepada Syarikat Prestaring
Berhad untuk pelaksanaan SKIN hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim menyampaikan surat itu kepada
Ketua Pegawai Eksekutif Prestariang Berhad Dr Abu Hassan Ismail.

Alwi berkata SKIN akan dipasang di semua pejabat imigresen termasuk pejabat
yang beroperasi di pintu-pintu masuk negara serta pejabat atase di luar negara.

“Sistem ini dilihat lebih cekap dan efisien dalam aspek penyampaian
sekaligus diyakini dapat mempertingkatkan aspek pencegahan dn kawalan
keselamatan mengikut peranan yang dimainkan jabatan itu,” katanya.-Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY