CYBERJAYA, 18 Julai – Dilaksanakan….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) bakal mengintegrasikan semua sistem imigresen sedia ada termasuk Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) yang akan dilaksana sepenuhnya pada 2021.

Melalui perjanjian konsesi SKIN di antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan Prestariang SKIN Sdn Bhd,  anak syarikat Pestariang Bhd, yang ditandatangi hari ini, beliau berkata pelaksanaan sistem tersebut tidak akan membabitkan peruntukan tambahan daripada kerajaan sebaliknya mengurangkan kos perbelanjaan kementerian dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata SKIN juga dijangka memberi hasil tambahan kepada kerajaan sebanyak hampir RM800 juta setahun.

“Sistem ini bukan hanya sebagai sistem penyampaian yang dipermodenkan tetapi di waktu yang sama ia tidak membebankan kerajaan malah memberi keberhasilan kepada negara,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini hari ini.

Jelasnya, walaupun SKIN hanya akan mula beroperasi pada 2021, sistem yang sedia ada akan terus dimantapkan dengan penambahbaikan dan permodenan dilakukan sebelum kesemua sistem tersebut  disatukan.

Ditanya sebab pelaksanaannya memerlukan persediaan selama kira-kira empat tahun, Ahmad Zahid berkata :”We are very  detail (for the SKIN) with zero defects… that our goals to achieve” (Kami amat teliti (untuk SKIN) dengan kecacatan sifar… itu matlamat untuk dicapai).

Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid berkata KDN akan memantau kesiapsiagaan sistem itu dengan melaksana ‘test run’ bagi memastikan ia mampu diselaraskan dan bergabung dengan sistem yang sedia ada pada tahun pelaksanaannya nanti.

“Kita juga akan menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memudahkan pegawai yang bertanggungjawab memantau dan elemen-elemen yang disepadukan dalam sistem tersebut,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa tiada sabotaj atau kekangan akan berlaku ketika pelaksanaan SKIN kelak.

Ditanya bagaimana dengan status vendor di bawah JIM ketika pelaksanaan sistem itu, beliau berkata Prestariang yang bertanggungjawab terhadap pembangunan SKIN akan menyediakan servis kepada mereka dan seterusnya pergabungan dan kerjasama akan terjalin di antara Prestariang dan kesemua vendor tersebut. – WD MY