JOHOR BAHRU, 19 Okt – Laksana Sistem Untuk Pengguna Motosikal…… Kerajaan akan melaksana sistem kawalan imigresen automatik untuk penunggang motosikal (M-BIKE) yang mula beroperasi bulan ini dijangka dapat mengurangkan kesesakan laluan motosikal sebanyak 50 peratus di pintu masuk Malaysia-Singapura kata Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata M-BIKE yang dijangka beroperasi sepenuhnya bulan depan merupakan satu daripada usaha transformasi kerajaan dalam mempertingkatkan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat.

“Melalui sistem M-BIKE ini, (setakat ini) kita telah dapat mengatasi masalah
kesesakan di waktu puncak untuk motosikal sama ada penunggang atau pembonceng
dan masa yang dijimatkan terlalu signifikan berbanding sistem konvensional,” katanya kepada media selepas meninjau pelaksanaan sistem itu di Kompleks
Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar, hari ini.

Melalui sistem M-Bike, tempoh pemeriksaan dapat dikurangkan kepada lapan
saat berbanding sistem dahulu iaitu antara 12 hingga 15 saat bagi setiap
motosikal, katanya.

Dianggarkan purata 60,000 pengguna motosikal melintasi sempadan
Malaysia-Singapura setiap hari.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mendengar taklimat  disampaikan pihak Jabatan Imigresen mengenai operasi jabatan itu di Kompleks CIQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks CIQ di Bangunan Sultan Abu Bakar di Linkedua serta pelaksanaan sistem M-BIKE di kedua-dua laluan pintu masuk.

zahid-ciq1

Buat masa ini, beliau berkata pelaksanaan fasiliti M-BIKE melibatkan 50
laluan keluar dan 50 laluan masuk di Bangunan Sultan Iskandar manakala 25 laluan
masuk dan 25 laluan keluar di Kompleks Sultan Abu Bakar.

“Bagaimanapun buat masa ini tiada laluan khas bagi motosikal berkuasa besar
dan laluan berkenaan sedang dibangunkan dan dijangka siap dalam masa dua bulan
lagi,” katanya.

Ahmad Zahid berkata pelaksanaan fasiliti M-BIKE merupakan bukti kerajaan
serius dalam menjamin aspek keselamatan di samping meningkatkan kemudahan serta
nilai tambah kepada pengguna khususnya motosikal.

Justeru itu, beliau mahu laporan penggunaan lorong M-BIKE dibentangkan
setiap kali beliau mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet bagi mengetahui
sejauh mana sistem tersebut berkesan.

“Pada masa ini, masih terdapat kekangan laluan untuk motosikal besar.
Kira-kira 12 peratus pengguna motosikal besar tidak dapat melalui lorong
berkenaan berikutan tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan,” katanya. – WD MY