JAKARTA, 19 Sept – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata
sistem tunggal pendaftaran pekerja asing iaitu secara dalam talian yang akan mula dilaksanakan
Oktober ini, akan dapat menangani isu pemerdagangan manusia dan penganiayaan terhadap
pekerja asing,

Menurut Ahmad Zahid sistem itu akan diguna pakai untuk semua negara pembekal tenaga
kerja asing kecuali Indonesia yang penggunaannya akan ditetapkan kemudian pada satu
mesyuarat di Putrajaya bulan depan.

“Untuk pekerja Indonesia, ia juga akan dilaksanakan tetapi hanya akan
berkuat kuasa sehingga persetujuan rasmi dan perjanjian ditandatangani selepas
pertemuan bulan depan itu,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian di sidang media selepas mengadakan
pertemuan dengan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia Muhammad Hanif
Dhakiri hari ini.

Tambahnya, sistem tunggal itu bertujuan supaya hanya ada satu saluran sahaja
untuk kelulusan pekerja-pekerja asing iaitu permohonan secara dalam talian.

” Ini supaya tidak berlaku penyelewengan, atau pembayaran yang melampau atau
pengambilan pekerja tanpa majikan … supaya ada keselarasan, tiada lagi
yang tiada majikan yang menyebabkan mereka menjadi pekerja asing tidak sah,”kata beliau.

“Mereka menjadi PATI (pekerja asing tanpa izin) kerana berada di Malaysia
melebihi tempoh diizinkan. Mereka masuk secara sah tetapi tempoh tinggal
melepasi lawatan sosial menyebabkan pihak berkuasa seperti imigresen dan polis
kena ambil tindakan,” katanya.

Bagi mengatasi masalah itu, Ahmad Zahid berkata pekerja asing khususnya dari
Indonesia yang mahu masuk ke Malaysia mesti sudah mempunyai majikan.

“Majikan pula perlu disahkan mengikut kelayakan jumlah pekerja (yang boleh
diambil),” katanya.

Beliau berkata untuk majikan pula, sebarang pelaksanaan baharu dalam
pengambilan pekerja asing bukanlah hendak menambah beban mereka tetapi bagi
memastikan kedua-dua pihak iaitu majikan dan pekerja selain kerajaan berpuas
hati dan pelaksanaaannya mengikut piawaian antarabangsa. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY