KUALA LUMPUR, 14 April – Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa
Hassan menyarankan kerajaan untuk melihat semula sistem perolehan aset kerana
dikhuatiri wujudnya kepincangan dalam menyelesaikan peruntukan tahunan terutama
pada hujung tahun.

Katanya ini bertujuan mengelakkan penggunaan lebihan peruntukan bagi tujuan
pembelian aset baharu yang tidak berkaitan sedangkan peruntukan itu sepatutnya
boleh dibawa ke tahun hadapan.

“Perkara ini perlu ada pembaharuan, kalau perolehan tidak habis boleh
dibawa ke tahun hadapan…jika tidak akan timbullah benda-benda yang tidak
mustahak dibeli.

Sebagai contoh masa zaman saya dahulu, sampai tahap beli tisu tandas untuk
diletakkan dalam lokap (untuk habiskan peruntukan tahunan) dan bila saya semak,
arahkan untuk serahkan tisu berkenaan ke bahagian lain kerana di dalam lokap
memang tidak menggunakan tisu tandas,” katanya.

Beliau ditemui media selepas Majlis Penutup Program Pegawai Integriti Bertauliah
‘CeLO’ siri 9 Bil 1/2015 hari ini.

Musa berkata setiap perolehan juga perlu ada audit dalaman yang lebih
agresif menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka supaya dapat menyemak
aset-aset yang dibeli mengikut spesifikasi termasuk memastikan keaslian untuk
sesetengah aset.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Musa berkata selain itu perancangan
untuk membuat perolehan juga harus dilakukan dengan cara yang lebih efisyen dan
betul agar sesuatu jabatan atau agensi kerajaan tahu apa yang ingin mereka beli
pada akhir tahun.-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY