KUALA LUMPUR, 26 Mac – NAMA…… Spekulasi nama puteri sulung Datuk Seri Siti Nurhaliza terjawab hari ini apabila penyanyi nombor satu negara itu memilih nama Siti Aafiyah Khalid.

Siti Nurhaliza, 39, yang ditemani suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 59, atau lebih dikenali Datuk K, membuat pengumuman berkenaan ketika majlis maulid nabi, akikah dan tahnik bersempena kelahiran Siti Aafiyah di kediaman mereka malam tadi.

Siti Aafiyah yang sebelum ini mendapat gelaran sementara Fatimah Az-Zahra yang diambil bersempena nama puteri kesayangan Nabi Muhammad SAW, selamat dilahirkan pada Isnin lepas (19 Mac) pada pukul 8.17 pagi dan seberat 3.55kg.

Siti Nurhaliza berkata beliau mendapat ilham untuk menamakan anaknya Siti Aafiyah ketika sedang hamil dan berada di tanah suci Makkah sewaktu menunaikan ibadah umrah bersama suaminya, tahun lepas.

“Doa pendek yang dibacakan suami saya di Makkah sering mengandungi perkataan Aafiyah, malah selepas itu, saya tidak menyangka doa yang sentiasa muncul dalam telefon bimbit memaparkan perkataan Aafiyah.

 

“Ia seolah-olah petanda bagi kami untuk memberikan nama anak sebagai Siti Aafiyah,” katanya pada majlis berkenaan yang disiarkan secara langsung menerusi akaun rasminya, ‘Siti Official Video’ di laman Youtube.

Pelantun lagu ‘Cindai’ itu menyifatkan kelahiran Siti Aafiyah yang membawa maksud ‘segala-gala maksud yang baik’ sebagai anugerah terindah dalam hidupnya selepas lebih 11 tahun mendirikan rumah tangga bersama Datuk K.

Majlis tahnik, cukur rambut dan akikah Siti Aafiyah disempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Dzulkifli Mohamad Al-Bakri.

Awal hari ini, Siti Nurhaliza mengotakan janjinya untuk memuat naik gambar rasmi Siti Aafiyah bagi tatapan umum di laman Instagram beliau.

Bersempena kelahiran anaknya, Siti Nurhaliza turut mencipta lagu khas berjudul ‘Comel Pipi Merah’ yang sehingga kini meraih jumlah tontonan hampir 1.4 juta setelah dilancarkan 14 Mac lepas.

Siti Nurhaliza dan Datuk K diijab kabul pada 21 Ogos 2006. – WD MY