MUAR, 11 Mac – Tidak Perlu Panik……Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara berikutan kes pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA2) tidak sampai membawa kepada peperangan.

Pihaknya sehingga kini belum mendapat laporan yang “mencemaskan” antara Malaysia dengan Korea Utara.

“Saya tidak tahu dan tidak mendapat laporan mengenainya. Sebagai Menteri Pertahanan, biasanya saya akan tahu dahulu mengenainya. Saya tidak nafikan setakat hari ini (hubungan) agak tegang tetapi tidaklah sampai tahap nak berperang.

“Jika diikutkan situasi di semenanjung Korea dan geopolitik antara Korea Utara dengan Amerika Syarikat dan Korea Selatan adalah lebih teruk lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Berkelompok Mesyuarat Cawangan-Cawangan UMNO Bahagian Muar di Bangunan UMNO Bahagian Muar di sini, hari ini.

Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, Kabinet juga semalam dimaklumkan dua perkara yang menjadi keutamaan kerajaan ketika ini dalam menyelesaikan kemelut itu.

“Cuma dalam kes ini, dua perkara yang kita nak nyatakan di sini. Pertamanya ialah berkaitan dengan keselamatan warga kita di Korea Utara. Keduanya, siasatan dalam kes ini bukan sahaja dapat dirasai tetapi dapat dilihat prosesnya (siasatan).

“Jadi dalam hal ini, proses (siasatan) sedang berjalan dan kita janganlah berbicara di khalayak ramai kerana ia mungkin menjejaskan rundingan diplomasi antara kedua-dua negara termasuk rundingan yang dibuat oleh pihak tertentu termasuk Wisma Putra dan Perdana Menteri sendiri,” katanya. – WD MY