DENGKIL, 6 Jan – Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJKT Dengkil kini lebih selamat dan kondusif hasil keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ia setelah Perdana Menteri menggesa pihak berkenaan menjalankan pembaikan segera untuk membaik pulih keadaan sekolah yang tidak memuaskan berikutan tinjauan mesra yang dilakukan Datuk Seri Najib di SJKT Dengkil pada 29 Oktober 2015.

Hanya dalam tempoh masa lima minggu, proses baik pulih sekolah berjaya disiapkan melalui kaedah “Industrialized Building System”(IBS).

Kaedah IBS yang digunakan memastikan pembinaan cekap dan pantas pada masa sama menitikberat aspek kualiti dan keselamatan.

Sebelum ini, SJKT Dengkil memiliki infrastruktur yang usang termasuk mendapan tanah di bawah blok sekolah, bumbung bocor, lantai retak, siling berkulat dan pendawaian elektrik yang tidak berfungsi sepenuhnya.

Proses pembaikan bukan hanya memastikan infrastruktur dalam keadaan selamat, malah jumlah bilik darjah ditambah, satu dewan serbaguna disiapkan, makmal sains dibaikpulih, tandas diperbaharui dan bilik mesyuarat dilengkapi dengan penghawa dingin dan perabot baharu.

Jumlah bilik darjah ditambah dari 11 ke 13 buah dan selepas proses pembaikan, sekolah ini mempunyai dewan yang membolehkan pelajar-pelajar berhimpun, agar mereka tidak perlu lagi berhimpun di bawah sinar matahari yang terik serta terdedah kepada cuaca hujan.

SJKT Dengkil mempunyai 280 pelajar dan 24 guru. -CF (WD MY)

LEAVE A REPLY