SHAH ALAM, NOVEMBER 7: SKIM…Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengkaji untuk menyediakan skim sarapan percuma dan berkhasiat untuk murid dari keluarga B40.

Menterinya, Dr Maszlee Malik dalam satu kenyataan berkata, usaha berkenaan merupakan hasil lawatan beliau ke sekolah awam Itabashi Daiichi Elementary School yang terletak Itabashi-ku, Tokyo Isnin lalu.

“Lawatan hampir tiga jam itu memberi peluang untuk mengetahui sendiri kaedah pembelajaran yang melahirkan generasi berkarakter baik.

“Kementerian juga berhasrat untuk memupuk budaya kebersihan dan disiplin dari peringkat tadika lagi sehingga peringkat pendidikan tinggi,” katanya yang kini berada di Jepun mengiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatan kerja tiga hari ke negara matahari terbit itu.

Beliau yang turut mengadakan lawatan ke Itabashi City Hall memaklumkan Datuk Bandarnya, Takeshi Sakamoto melahirkan hasrat untuk mengadakan bandar berkembar selain mengeratkan kerjasama dalam bidang pelancongan dan pendidikan.

“Datuk Bandar Itabashi City Hall juga berhasrat menaja pelajar-pelajar Jepun untuk tinggal bersama keluarga angkat di Malaysia dan merasai pengalaman unik di sini,” katanya lagi.

Maszlee menambah, pertemuan beliau dengan Menteri Pendidikan, Budaya, Sains dan Teknologi Jepun, Masahiko Shibayama di Tokyo, pada Selasa ada menyentuh isu penubuhan kampus cawangan di Malaysia.

“Tiga universiti di Jepun iaitu University of Tsukuba, Nippon Designers School dan Ritsumeikan Asia Pacific University menzahirkan rancangan penubuhan kampus cawangan di Malaysia.

“Operasi Nippon Designers School dijangka bermula tahun 2019. University of Tsukuba dijangka memulakan operasi pada tahun 2020 jika semua perancangan berjalan lancar,” katanya.

Sehubungan itu kata Maszlee, kementeriannya memulakan langkah memberi sokongan dari aspek pencarian lokasi, memudah cara proses permohonan penubuhan, pendaftaran dan piawaian serta dalam soal pengambilan penuntut.

“Kementerian memberikan komitmen dan sokongan padu bagi merealisasikan hasrat Perdana Menteri agar universiti-universiti Jepun menubuhkan kampus cawangan mereka di Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Mahathir ketika berucap pada majlis penganugerahan ijazah kehormat daripada University of Tsukuba di kampus universiti itu di Tokyo berkata, beliau ingin melihat universiti Jepun mewujudkan kampus cawangan di Malaysia bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia bukan sahaja didedahkan kepada sistem pendidikan negara itu, tetapi turut mempelajari budayanya.-MY WD