PUTRAJAYA, 17 APRIL – LANCAR…. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiapkan laporan akhir berhubung ujian 5G menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo hari ini.

Beliau berkata hasil ujian itu, yang dijalankan antara April dan Oktober tahun ini, akan dibentangkan kepada kerajaan dan inisiatif itu bertujuan memastikan negara bersedia untuk melaksanakan jaringan dan teknologi berkelajuan tinggi.

“Laporan akan dikeluarkan berhubung keputusan ujian 5G itu, termasuk kekuatan-kekuatan, kelemahan dan cadangan-cadangan mengenai persiapan apa yang perlu dilaksanakan kerajaan untuk memasuki era 5G, terutama dengan kemunculan Revolusi Perindustrian 4.0.

“Walaupun tarikh bila 5G akan dapat dinikmati sepenuhnya di seluruh negara belum ditetapkan, namun kita berani mengatakan bahawa kita sedang menuju ke arah itu,” katanya kepada media selepas melawat Pameran 5G Malaysia (5G Malaysia Showcase) di Perbadanan Putrajaya semalam.

Pelancaran ujian 5G itu akan berlangsung pada 18 April ini, yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala pameran itu dibuka kepada orang ramai dari 10 hingga 21 April dari 10 pagi hingga 6 petang. Masuk adalah percuma.

Pada awal April, dua rangkaian 5G telah diwujudkan di Putrajaya di empat lokasi pelancaran, manakala lima rangkaian akan disiapkan untuk pelancaran pada 18 April.

Kepada soalan sejauh manakah persediaan kerajaan untuk bergerak ke arah 5G dan persiapan infrastruktur, Gobind berkata tujuan mengadakan pelancaran ujian 5G adalah untuk melihat bagaimana kerajaan boleh mengembangkan teknologi itu di negara ini kerana 5G turut digunakan untuk memperkasakan industri lain seperti pertanian.

“Melalui ujian itu dan pameran membabitkan beberapa aplikasi yang digerakkan oleh kuasa 5G untuk mendapatkan maklumat tambahan bagaimana merangka langkah-langkah dan hala tuju berhubung perkembangan teknologi 5G terbabit,” katanya.

Gobind berkata, walaupun Malaysia sedang bergerak ke arah teknologi 5G, ini tidak bermaksud bahawa pihaknya telah mencapai sambungan internet cemerlang ke seluruh negara dengan menggunakan teknologi 2G, 3G dan 4G.

“Kita kena terima hakikat bahawa seluruh dunia sedang dan akan melangkah ke hadapan dengan menggunakan teknologi 5G. Dengan melihat keadaan itu, Malaysia juga kena bergerak ke hadapan dan harus membuat persediaan dari segi infrastruktur untuk menerima teknologi yang menggunakan 5G,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi SKMM, Al-Ishsal Ishak, berkata laporan itu, yang akan disediakan antara November dan Disember, adalah satu lagi kemajuan yang dicapai negara setanding dengan kemajuan dunia di mana Persidangan Komunikasi Radio Sedunia (World Radiocommunications Conference – WRC) 2019 (28 Okt 28 hingga 22 Nov) akan memuktamadkan standard tertentu mengenai 5G menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, pasukan petugas 5G, yang ditubuhkan pada tahun lalu, kini mempunyai 108 anggota daripada pelbagai sektor dalam industri termasuk syarikat-syarikat telekomunikasi, badan-badan perniagaan, institusi pendidikan, agensi-agensi kerajaan berkaitan dan vendor infrastruktur.

“SKMM akan menghentikan analog pada suku ketiga, dan enam bulan kemudian, kita akan membenarkan penggunaan spektrum 700 megahertz untuk kegunaan awam. Jadi jika anda melihat kepada masanya, kita selesai melaksanakan kerja tahun ini (5G), dan tahun depan spektrum dapat disiapkan. Inilah sebab kenapa Malaysia memulakan awal (ujian 5G) agar selari dengan peristiwa-peristiwa lain dan verifikasi standard di seluruh dunia,” kata beliau. – WD MY