KUALA LUMPUR, 4 Nov – Sekat Laman Web……. Sebuah laman web yang mengiklankan perkhidmatan dan jualan barangan, dikesan turut menyelitkan iklan khidmat seks kepada komuniti di negara ini, perlu segera disekat.

Laman web yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu mendapati ia mengandungi puluhan ribu gambar lucah termasuk melibatkan warga tempatan yang dapat diakses dengan mudah.

Menerusi laman web itu, para pengiklan seks didapati memuat naik gambar termasuk gambar bogel dengan pelbagai aksi dipercayai untuk menarik pelanggan serta turut memberi maklumat peribadi termasuk nombor telefon dan alamat e-mel untuk dihubungi.

Berdasarkan maklumat diperoleh daripada Wikipedia, laman web berkenaan mula bertapak di Amerika Syarikat dan dipercayai sudah beroperasi kira-kira 20 tahun. Ia mempunyai lebih 200 juta anggota komuniti di seluruh dunia.

Laman web itu turut menyenaraikan pelbagai kategori pilihan iklan seks seperti wanita mencari wanita, wanita mencari lelaki, lelaki mencari wanita, lelaki mencari lelaki atau percintaan pelbagai jenis.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar ketika dihubungi media berkata pihak polis akan menyiasat laman web berkenaan dan sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membanteras laman web lucah di negara ini.

“Kami akan bekerjasama dengan SKMM untuk mengesan operator laman web ini,” katanya.

Sementara itu, SKMM dalam kenyataan berkata pihaknya akan bekerjasama dengan pihak pentadbir laman sesawang itu untuk memastikan tiada pengiklanan perkhidmatan yang menyalahi undang-undang negara disiarkan di laman berkenaan.

“Langkah ini diambil bagi memastikan tidak ada individu yang terjerat dengan aktiviti yang tidak bermoral itu,” menurut kenyataan SKMM.

Menurut kenyataan itu, SKMM akan meneliti terlebih dahulu inti pati kandungan laman web antarabangsa itu yang didakwa mengiklankan barangan dan turut mengambil peluang menawarkan khidmat seks di negara ini. – WD MY