KEMAMAN, 21 Feb – Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui
Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengadakan rundingan
dengan syarikat telekomunikasi (Telco) di negara ini bagi menurunkan caj
perkhidmatan yang dikenakan kepada pengguna pada masa sekarang.

Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata
pihaknya akan menyemak kembali struktur berkenaan pembayaran perkhidmatan
telekomunikasi jalur lebar kerana kos pemasangan talian gentian optik sudah pun
turun pada masa sekarang berikutan penurunan harga minyak dunia.

“Kita mahu melihat Malaysia menjadi sebagai sebuah negara penanda aras bagi
negara Asean dari segi struktur harga dan perkhidmatan berbanding negara lain
seperti Thailand dan Indonesia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan program
penyampaian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada 1,500 penerima Dewan Undangan
Negeri Cukai di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman di sini hari ini.

Menurutnya jalur lebar merupakan pemangkin bagi menjadikan negara ini sebuah
negara yang kompetitif berbanding negara lain di dalam semua bidang.

“Oleh sebab itu kita meminta supaya satu langkah yang lebih berkesan diambil
untuk memastikan perkhidmatan ini dapat dirasai oleh semua rakyat dan dapat
menarik pelabur-pelabur dari luar untuk melabur di negara ini,” katanya.

Ahmad Shabery juga berkata Telco di negara ini juga perlu memberikan
perkhidmatan yang terbaik dari segi penembusan jalur lebar yang mana pada masa
sekarang pengguna mendakwa tidak mendapat perkhidmatan yang terbaik dari segi
kualiti berbanding bayaran yang dikenakan terhadap mereka.

Justeru, katanya beliau akan meminta SKMM supaya membuat senarai
perbandingan Telco di negara ini dari segi perkhidmatan yang diberikan oleh
setiap pembekal perkhidmatan supaya pengguna dapat menilai dan memilih
perkhidmatan terbaik yang diberikan oleh syarikat telekomunikasi di negara ini.-
Sofea Nawar – (WD MY)

LEAVE A REPLY