KUALA LUMPUR, 19 Nov – KEKELUARGAAN……Penaung Skuad Sayang Kebangsaan, Datin Seri Seri Rosmah Mansor, berkata Skuad Sayang Kebangsaan melonjakkan status penubuhannya daripada sebuah entiti kebajikan dan kesukarelawan sebagai jenama kekeluargaan masyarakat.

Dengan kekuatan dari 1.3 juta ahli Wanita UMNO, beliau yakin skuad terbabit mampu menjadi satu jenama baharu iaitu kekeluargaan yang sentiasa mendapat tempat di hati rakyat.

“Melihat kepada perkembangan sosial masa kini, saya merasakan adalah wajar Skuad Sayang memperluaskan skop kebajikannya supaya mencakupi aspek modal insan.

“Aspek ini sememangnya bertepatan dengan situasi masa kini. Modal insan itu bermula di peringkat keluarga.

“Saya berpegang teguh kepada prinsip institusi kekeluargaan sebagai nukleus yang paling kecil namun ia penting untuk mencorak nilai pembangunan insan,” katanya ketika berucap pada majlis tahunan bersama Penaung Skuad Sayang Kebangsaan 2017, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Selain itu beliau juga menyatakan kesediaannya untuk bersama Skuad Sayang Kebangsaan dalam memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Skuad Sayang Kebangsaan sudah memulakan langkah pantas dalam memacu perubahan, melonjakkan momentum perjuangan, sekali gus memenangi semula hati dan jiwa rakyat.

“Perubahan iklim politik kini semakin sukar diramal dan tidak menentu aturannya. Kita tidak boleh berpuas hati dengan kedudukan sedia ada,” katanya.

Majlis tahunan itu dihadiri lebih 1,500 anggota Skuad Sayang dari seluruh negara.

Sharizat berkata komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh skuad daripada 21 cawangan UMNO di 12 negeri cukup membanggakan.

“Banyakkan kerja kemasyarakatan dan kesukarelawan yang mampu menambat hati rakyat sekali gus membawa pulangan kepada parti,” katanya.

Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Skuad Sayang, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Haron dan Tan Sri Noh Omar serta Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman. – WD MY