KUALA LUMPUR, 21 Mei – Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil selaku Ketua Wanita Umno mengalu-alukan keputusan kerajaan Malaysia, Indonesia dan Thailand yang mencapai kata sepakat dalam menangani krisis pelarian Rohingya, dan menyatakan ia adalah langkah terbaik oleh negara jiran ketika ini.

“Saya rasa lega dengan keputusan dibuat kerajaan Malaysia, Indonesia dan Thailand,” katanya.

Ketua Wanita Umno itu berkata kerajaan sebenarnya tidak ada pilihan melainkan membantu pelarian Rohingya atas faktor kemanusiaan, namun ia juga perlu dilaksanakan dengan berhati-hati kerana melibatkan isu keselamatan.

“Kalau perlu, kita boleh gerakkan Wanita Umno menjadi sukarelawan, kita bersedia bila-bila masa sahaja, lagi pun kita ada ahli lebih 20,000. Kalau menteri luar perlukan bantuan dari segi sukarelawan, kecik tapak tangan nyiru kami tadahkan,” kata Sharizat.

Beliau ditemui media selepas merasmikan program penjagaan dan rawatan selepas bersalin disini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya membuka atau membenarkan pintu sempadan dimasuki oleh pendatang mahupun pelarian namun atas dasar kemanusiaan dan tindakan membuka penempatan sementara itu adalah bukti kerajaan Malaysia prihatin dengan pelarian berkenaan.

“Itu adalah prosedur penyelamatan yang terbaik boleh dilakukan meskipun saya faham kita tidak buka sempadan kita kerana ada masalah dengan undang-undang imigresen, namun kita tidak boleh biarkan mereka mati kelaparan. Kerana itu, saya ucapkan taniah kepada menteri luar,” kata bekas menteri pembangunan wanita keluarga dan masyarakat itu.

Semalam, Indonesia dan Malaysia bersetuju menghulurkan bantuan kemanusiaan dengan menawarkan tempat perlindungan sementara kepada 7,000 pelarian Rohingya yang masih terkandas di laut.

Pengumuman itu terkandung dalam kenyataan bersama dibacakan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, selepas bermesyuarat dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Retno Marsudi dan Jeneral Tanasak Patimapragor dari Thailand, di Kuala Lumpur.

Anifah berkata kedua-dua negara bersetuju menyediakan tempat perlindungan sementara dengan syarat proses penempatan semula dan penghantaran pulang dijalankan dalam tempoh setahun oleh masyarakat antarabangsa.

Manakala Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan semalam menyeru orang ramai dan badan bukan kerajaan membantu menyumbangkan makanan dan minuman serta ubat – ubatan kepada pelarian melalui saluran yang betul dan disediakan kerajaan seperti pusat pengumpulan imigresen.- Faizal Dato Badarudin, Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY