KUALA LUMPUR, 22 Jan – LANCAR……. Pihak SkyWorld Development Group bakal melancarkan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.0 bilion pada tahun ini, kata Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Ng Thien Phing.

Beliau berkata projek tersebut, yang terdiri daripada rumah mampu milik, kediaman mewah dan hartanah komersial, akan dilancarkan pada separuh pertama tahun ini.

“Kami akan membuka Sky Meridien, The Hub, Sky Awani 3 dan The Valleys. Semua projek ini akan dilancarkan pada tahun ini,” katanya pada sidang media selepas melancarkan SkyWorld Quality Centre bernilai RM3.8 juta milik kumpulan itu di sini hari ini.

SkyAwani 3 merupakan projek perumahan mampu milik dengan GDV sebanyak RM600 juta, manakala The Hub adalah pejabat strata komersial. Kedua-dua projek itu akan dibina di kawasan Setapak.

Ng berkata SkyWorld mempunyai pelan bagi pembangunan SkyAwani 4, tetapi projek tersebut hanya akan dilancarkan pada tahun depan.

Bagi Sky Meridien, projek kediaman mewah itu akan mempunyai 780 unit rumah dan dinilai mempunyai GDV sebanyak RM497 juta.

Ng berkata projek tersebut, terletak di Bandar Baru Setapak, dijangka mempunyai kos pembangunan kasar (GDC) kira-kira RM420 juta.

Bagi The Valleys, katanya projek kediaman dengan 1,309 unit di Setiawangsa akan mempunyai GDV sebanyak RM750 juta dan GDC sebanyak RM650 juta.

Sementara itu, SkyWorld Quality Centre, yang dirasmikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor, adalah yang pertama di Malaysia.

Ng berkata Quality Centre dibina untuk menandakan jaminan kualiti SkyWorld kepada pembeli dan bertindak sebagai penanda aras kualiti bagi semua pembangunan SkyWorld. – WD MY