BAGAN DATUK, 7 Mei – LUAR BIASA….. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sokongan dan sambutan pengundi terhadap calon Barisan Nasional (BN) di seluruh negara dilihat luar biasa.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sambutan menggalakkan itu diharap dapat diterjemahkan melalui undi buat BN pada 9 Mei ini.

“Keyakinan ini saya nyatakan kerana saya lihat sendiri dengan mata kepala saya terhadap sambutan ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN kini di Sabah dan beliau juga melihat sambutan menggalakkan dan cukup meyakinkan di Sabah.

“Walaupun di media sosial memperlihatkan seolah-olah ada gelombang besar bagaikan kemenangan berpihak kepada mereka (pembangkang) tetapi hakikatnya, majoriti senyap pengundi masih bersama kita (BN),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan `Program Back2School: Pelestarian Kebun’ anjuran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia (YKMAM) di Sekolah Kebangsaan Sungai Nipah di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, penganjuran ceramah oleh pembangkang kelihatan besar kerana diadakan di kawasan bandar besar tetapi majoriti pengundi di luar bandar masih bersama BN.

“Kita tahu 70 peratus kawasan DUN dan Parlimen ada di kawasan luar bandar dan sambutan rakyat kepada calon BN meningkat dengan luar biasa berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) dan PRU-13.

“Apa yang kita lihat ini merisaukan pihak lawan, maka mereka gunakan pelbagai taktik termasuk serangan mengejut saat akhir kepada BN dan tumpuan serangan mereka adalah Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, sambutan rakyat dan pengundi di Sabah dan Sarawak juga bertambah baik termasuk di kawasan pedalaman, rumah panjang dan kawasan kumpulan etnik dan sub etnik.

Dari Perlis hingga ke Johor, katanya, ada gelombang sokongan besar kepada BN, begitu juga perubahan positif di Pantai Timur.

“Saya minta seluruh rakyat Malaysia khususnya pengundi jangan percaya dengan berita palsu dan berita tidak benar serta kempen perang saraf pembangkang yang kehilangan punca.

“Kita harus istiqamah dan yakin pegangan kita untuk memberi dokongan kepada semua calon BN harus diteruskan sehingga tamat hari pengundian jam 5 petang 9 Mei nanti,” katanya. – WD MY