KUALA LUMPUR, 11 Mei – Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Majlis Tertinggi (MT) UMNO Isnin melahirkan sokongan padu kepada kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden parti itu.

Najib berkata barisan MT UMNO mahu supaya presiden dan timbalan presiden serta pimpinan tertinggi parti bersatu dalam satu pasukan dan mengambil tindakan positif untuk kukuhkan lagi kedudukan parti itu dan Barisan Nasional (BN) di sisi rakyat.

“Dengan keputusan itu, maka MT (UMNO) juga kata kalau ada isu berbangkit, MT harap mereka diberi peluang untuk menyumbang idea bernas dan positif supaya sebarang isu berbangkit boleh ditangani dan diberi penyelesaian yang sewajarnya,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Mesyuarat itu, yang bermula 3.30 petang dan berakhir 7 malam ini, turut dihadiri Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri serta dua Naib Presiden iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Manakala mengulas mengenai Tabung Haji, Presiden Umno menegaskan supaya pendeposit tidak perlu bimbang kerana duit yang disimpan selamat dan dijamin oleh Kerajaan.

Bagi isu 1MDB, Majlis Tertinggi memberi sokongan untuk menyelesaikan dan meminta Ketua Audit Negara mencepatkan proses audit agar dapat dibentangkan kepada PAC.

Sementara itu Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang ditemui media selepas mensyuart berkenaan berkata beliau menerangkan isu mengenai pembelian tanah TRX dan ahli Majlis Tertinggi berpuas hati dengan penerangan yang disampaikan.

“Ya saya menerangkan dari A hingga Z mengenai isu Tabung Haji dan ahli Majlis Tertinggi Umno berpuas hati dengan penerangan itu,” kata Azeez Rahim.- Suraya Ahmad,Rizalman Has, Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY