KUCHING, 4 Jun – Lebih 12,000 penyokong Barisan Nasional (BN)
berhimpun di Stadium Perpaduan di sini pagi ini bagi memeriahkan Majlis Pemimpin
Bersama Rakyat #sarawakfornajib, sebagai menzahirkan tanda sokongan kepada
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib tiba bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor yang diiringi oleh
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem pada kira-kira pukul 10.30 pagi ini disambut
dengan sorakan gemuruh oleh hadirin, dengan laungan “Hidup Najib” bergema
di dalam stadium menyambut ketibaan pemimpin nombor satu negara itu.

Selain kontinjen parti-parti komponen BN padat berbaris di ruang tengah
stadium, turut serta ialah kontinjen daripada parti mesra BN iaitu Parti Tenaga
Rakyat Sarawak (Teras) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP), lengkap mengibarkan
bendera masing-masing yang berwarna warni.

Persekitaran Stadium Perpaduan pula sudah dimeriahkan dengan pelbagai
persembahan seawal pukul 8 pagi dengan pelbagai acara sampingan termasuk
persembahan pentas diadakan bagi menghiburkan pengunjung.

Ribuan bendera BN berlambang dacing menghiasi persekitaran serta jalan-jalan
utama yang menghala Stadium bagi menceriakan suasana yang muncul bagaikan
perayaan sambutan “Pesta BN”.

Perdana Menteri dan isteri yang tiba di Kuching semalam, menghadiri Majlis
Makan Malam Sempena sambutan Hari Gawai di Dewan DBNA malam tadi, dan dijadual
berlepas pulang selepas majlis pagi ini.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY