PEKAN, MEI 6:Penduduk di Parlimen Pekan menunjukkan sokongan padu kepada Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sokongan mereka kepada BN tidak pernah luntur sejak zaman Allahyarham ayahandanya, Tun Razak Hussein yang juga Perdana Menteri kedua sehingga kini.

Sokongan ini dapatt dilihat apabila beliau  juga Ketua UMNO Bahagian Pekan turun padang melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Paloh Hinai, pagi tadi, mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk tempatan.

“PDM Paloh Hinai adalah antara tonggak utama BN dalam Parlimen Pekan sejak zaman ayahanda saya hingga sekarang.

“Walaupun dalam suasana keadaan tidak menentu sebelum ini…sokongan penduduk dan pengundi di PDM ini kepada BN tidak pernah goyang.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, sokongan pengundi PDM Paloh Hinai ialah 85 peratus dan pilihan raya kali ini saya minta tambah sehingga 90 peratus,” katanya.

Najib yang juga penyandang Parlimen Pekan turut bersarapan bersama lebih 500 pengundi di Dewan Orang Ramai Taman Selasih, Paloh Hinai, dekat sini, hari ini.

Najib yang juga Pengerusi BN kemudian membuat tinjauan di Pusat Takungan Air Chini di Loji FELDA Chini, melawat Bilik Gerakan PDM FELDA Chini Timur dan melawat tapak perumahan 1FELDA dan beramah mesra bersama warga FELDA Gugusan Chini di Pusat Tenun Chini.

Najib turut memaklumkan mengenai cadangan pembinaan masjid baharu bernilai RM3.2 juta di Paloh Hinai sudah mendapat surat kelulusan selain pembinaan rumah UMNO bagi menghargai sokongan padu penduduk di situ.-MY WD