PUTRAJAYA, 16 Feb – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata kerajaan memberi sepenuh sokongan terhadap segala usaha membudayakan Al-Quran termasuk penganjuran tilawah bagi melahirkan ummah yang berupaya mengimbangi tuntutan dunia dan akhirat.

Menurut beliau, sejak mencapai kemerdekaan, kerajaan pada setiap tahun tidak terlepas menganjurkan pertandingan tilawah Al-Quran bermula dari peringkat daerah sehingga antarabangsa, bertujuan memartabatkan syiar Islam di negara ini.

“Sebab itu pada peringkat Parlimen Putrajaya, kita melaksanakan Program
Tahsin Iqra Sekolah-Sekolah Menengah sejak 2014 termasuk Majlis Tilawah
Al-Quran peringkat Putrajaya yang diadakan hari ini.

“Ini semua dilaksanakan dengan harapan untuk melahirkan generasi muda yang
celik Al-Quran,” katanya ketika berucap menutup Majlis Tilawah Al-Quran
peringkat Zon Putrajaya kali ketiga, di Masjid Putra hari ini.

Tengku Adnan berkata dalam mendepani cabaran alaf baharu, umat Islam negara
ini perlu menguasai ilmu bagi melahirkan insan cemerlang, sekali gus dapat
memperbanyakkan generasi Ulul-Albab atau cendekiawan dalam segala disiplin ilmu
termasuk ilmu agama.

Oleh itu, katanya peluang sedia ada harus digunakan sebaik mungkin supaya
bijak memanfaatkan teknologi khususnya menerusi kewujudan aplikasi Al-Quran
digital supaya ia boleh dibaca di mana sahaja. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY