JAKARTA, 3 APRIL – KUAT….. Sokongan terhadap Presiden Indonesia, Joko ‘Jokowi’ Widodo masih mendahului dalam tinjauan yang diterbitkan, hanya dua minggu sebelum negara demokrasi ketiga terbesar dunia itu mengundi, namun jurang sokongan beliau berbanding pesaing, Prabowo Subianto semakin rapat.

Pilihan raya presiden 17 April depan dilihat sebagai ulangan kepada pilihan raya 2014 yang menyaksikan Jokowi berjaya mengalahkan bekas jeneral tentera terbabit.

Jurang antara kedua-dua kem itu susut kepada 18.8 peratus pada Mac berbanding 21.3 peratus pada bulan sebelumnya, menurut tinjauan oleh IndoBarometer yang diterbitkan, semalam.

Peluang Jokowi menang bersama calon naib presiden beliau, seorang ulama kanan adalah sebanyak 50.8 peratus, sementara Subianto dan calon naib presidennya, Sandiaga Uno sebanyak 32 peratus.

“Kem presiden mendahului dengan selesa kerana sokongan terhadap prestasi Widodo sebagai presiden, ketika ini,” kata seorang penyelidik di IndoBarometer, Hadi Suprapto Rusli.

Beliau juga mengesahkan tiga program baharu Widodo untuk bantuan kepada golongan kurang bernasib baik mendapat pekerjaan, pendidikan universiti dan makanan asas lebih mampu milik terbukti popular.

Beberapa tinjauan terbaharu menunjukkan Widodo meraih sokongan daripada golongan bawahan sosial dengan golongan berpendidikan tinggi lebih cenderung menyokong Subianto.

Tinjauan berasingan oleh LSI Denny yang diterbitkan, semalam, menunjukkan taraf sokongan kepada kem Widodo pada 56.8 hingga 63.2 peratus, sementara pasukan Subianto hanya mendapat 36.8 hingga 43.2 peratus. – WD MY