KUALA LUMPUR, JULAI 1:SOKONGAN….Pemilihan UMNO yang berakhir semalam menyaksikan adanya keazaman dan kesungguhan akar umbi untuk melakukan reformasi terhadap parti tetapi gagal.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali, berkata jumlah undi agak tinggi diperoleh Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) berbanding Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) dalam perebutan jawatan Presiden yang dimenangi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menggambarkan wujud cubaan untuk mereformasi UMNO.

“Walaupun kalah, KJ mendapat jumlah undi agak besar dan mampu menewaskan Ku Li. Ini menunjukkan ada ahli yang mahu membuat perubahan pada UMNO.

“KJ tewas kepada Ahmad Zahid atas faktor Presiden yang baharu itu adalah orang lama UMNO, sekali gus lebih berpengaruh dan disenangi golongan ‘dewasa’ dalam parti,” katanya.

Justeru, beliau yang juga pensyarah politik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, Ahmad Zahid tidak boleh mengetepikan begitu sahaja sokongan perwakilan kepada Khairy Jamaluddin.

Katanya, bekas Timbalan Perdana Menteri itu memikul tanggungjawab membawa pembaharuan terhadap imej UMNO untuk mengharungi cabaran dalam arena politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ahmad Zahid perlu memberi perhatian akan undi perwakilan yang tinggi kepada KJ. Presiden harus membawa wajah baharu UMNO yang lebih segar dan sesuai dengan politik pascaPRU-14.

“Parti yang mengekalkan ciri mewakili orang Melayu seperti UMNO masih relevan. Namun pada masa depan, parti mewakili semua kaum akan memiliki harapan lebih tinggi untuk meningkat.

“Inilah cabaran dihadapi UMNO dan barisan kepemimpinannya yang baharu selepas pemilihan parti. Jika masih gagal sedar serta berubah, mereka akan menjadi tidak relevan dan pasti sukar untuk bangkit semula dalam pilihan raya akan datang,” katanya.-MY WD