KOTA BHARU, 21 Julai – Kecam…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rakyat di negara ini perlu menzahirkan solidariti terhadap Palestin yang ditindas rejim Zionis tanpa mengira agama, kaum dan politik.

Ahmad Zahid berkata, mereka perlu mengenepikan perbezaan politik bagi mengutuk tindakan tentera zionis yang tidak berhenti menindas rakyat Palestin.

“Mereka (Zionis) sungguh kejam kerana menghalang umat Islam menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa minggu lalu selain menembak imam besar dengan menggunakan senjata berpeluru getah.

“Justeru, walaupun Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berbeza daripada segi pegangan politik, namun kami terus bersama menyatakan rasa satu padu dalam tindakan membabitkan rakyat dan ummah.

“Perkara ini dibuktikan pada 4 Disember tahun lalu apabila pemimpin PAS dan UMNO berkongsi pentas mengutuk kekejaman dan penindasan terhadap etnik Rohingya di Stadium Titiwangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra Raya Aidilfitri bersama Timbalan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Sebelum itu, lebih 2,000 pemuda UMNO dan PAS mengadakan perhimpunan aman bagi membantah kekejaman zionis.

Bantahan itu dilakukan di Dataran Rehal depan Masjid Muhammadi, di sini, selepas solat Jumaat, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, berkata sifat walak perlu ada dalam diri pemimpin dan ahli parti supaya tidak timbul rasa kecil hati di kalangan mereka.

“Saya seru semua sahabat mementingkan sifat walak kerana ia penting untuk wujudkan kebersamaan supaya penjernihan sifat dan sikap setiap dapat diteruskan, ” katanya. – WD MY