SOP Kawalan Sempadan Negara Diperkemaskan Kata TPM

0
128

SYDNEY, 9 Mei – Perkemas………  Kawalan sempadan negara akan diperkemaskan lagi menerusi penyelarasan piawaian prosedur operasi standard (SOP) agensi-agensi berkaitan dalam menangani jenayah rentas sempadan,  kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata integrasi keempat-empat agensi kawalan sempadan negara iaitu polis marin,  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) penting agar usaha membanteras jenayah rentas sempadan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

“Di kawasan perairan, kita mempunyai APPM, di  sungai (di bawah tanggungjawab) polis marin, polis marin diberikan kawasan sekitar 5 batu nautika dari pesisiran pantai, APMM (kawalan)  5 batu nautika ke kawasan perairan antarabangsa, (kawalan perairan) antarabangsa (dilakukan) pihak tentera laut, manakala sempadan darat (dikawal oleh) AKSEM,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan mengambil beberapa langkah dalam melakukan penyelarasan piawaian SOP dan integrasi keempat-empat agensi penguat kuasa itu dalam membanteras jenayah  penyeludupan dadah, senjata dan pemerdagangan manusia.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Ahmad Zahid, Malaysia juga bercadang menghantar  pegawai dalam agensi berkenaan untuk mempelajari modul Australia dalam mengawal sempadan negara itu.

” (Bagaimanapun) ini (ABF) bukannya satu-satu pusat latihan di Australia, ada banyak lagi pusat latihan lain (di Australia iaitu) di Melbourne, Adelaide, Perth dan Darwin, maka kita akan memilih tempat bersesuaian untuk (menghantar pagawai) agensi terlibat (polis marin, APMM dan AKSEM),” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri yang dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Australia, tiba di  Sydney pagi tadi selepas dua hari berada di Canberra.

Lawatan kerja beliau itu adalah bagi mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Australia, selain berkongsi pengalaman dan maklumat berkaitan keselamatan, membanteras keganasan dan jenayah rentas sempadan.

Pada tengah hari tadi, beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor New South Wales, David Hurley di Rumah Kerajaan di sini.

Ahmad Zahid dijadual berlepas pulang ke Kuala Lumpur malam ini selepas menghadiri majlis makan malam bersama penuntut Malaysia  di Sydney. – WD MY