KUALA LUMPUR, 15 Mei – Kemuka…….. Syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah diarah untuk mengemukakan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) maklumat terkini mengenai kerosakan pada rangkaian KL Monorel¬† yang menyebabkan operasi beberapa tren set empat gerabaknya terpaksa dihentikan pada Jumaat lepas.

Suruhanjaya berkata syarikat pengendali itu juga diminta mengemukakan perancangan pembaikpulihan dan garis masa bagi menangani isu-isu yang ditemui.

“Suruhanjaya akan terus memantau langkah-langkah pemulihan yang sedang dijalankan oleh Rapid Rail untuk memastikan bahawa penumpang terus menerima perkhidmatan yang boleh dipercayai,”.

Rapid Rail Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Prasarana  pada Jumaat mengumumkan keputusan untuk menghentikan operasi beberapa tren set empat gerabaknya berikutan timbulnya isu-isu keselamatan.

Bagi menampung kekurangan perkhidmatan daripada penggunaan tren set dua gerabak, Rapid Rail telah menyediakan bas perantara pada waktu puncak pagi dan petang bagi melengkapkan perkhidmatan KL Monorel, bermula hari ini.

Perkhidmatan bas perantara itu disediakan pada waktu kemuncak antara pukul 7 dan 9 pagi serta 5 petang hingga 7 malam dan diadakan setiap tujuh dan 15 minit di beberapa stesen yang sibuk antara Stesen KL Sentral di hadapan NU Sentral dan Stesen Raja Chulan.

Menurut kenyataan itu lagi, SPAD juga telah mengarahkan Prasarana dan pengeluar tren, Scomi, meningkatkan kebolehpercayaan lima set tren empat gerabak dengan menggunakan kaedah penyelenggaraan yang lebih ketat, serta standard perkhidmatan dan keselamatan yang lebih tinggi.

Ini membolehkan pengendali mengesan permasalahan dengan lebih awal, sebelum terjadinya gangguan dan kelewatan perkhidmatan yang akan membebankan pengguna, menurut kenyataan itu.

“Suruhanjaya juga telah menggesa Scomi untuk terus bekerjasama dan menyegerakan penghantaran baki tujuh set tren empat gerabak baru bagi membolehkan Prasarana menjalankan perkhidmatan tren dengan lebih kerap dan meningkatkan kapasiti perkhidmatan KL Monorel semasa dan sekali gus memastikan aliran penumpang yang tinggi pada masa-masa tertentu dapat ditampung, terutamanya pada waktu puncak,” menurut kenyataan itu. – WD MY