KUALA KRAI, 23 Mei – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)
mencadangkan kepada kerajaan supaya mengkaji kemungkinan membina jajaran baharu
landasan kereta api di Kelantan yang bebas daripada ancaman banjir.

Menurut Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar, ini kerana landasan sedia
ada dari Gua Musang hingga Tumpat, rosak teruk akibat banjir yang berlaku
Disember tahun lepas.

“Cadangan berkenaan adalah untuk jangka panjang bagi memastikan perkhidmatan
kereta api khususnya di Kelantan tidak terjejas sekiranya banjir besar berulang
lagi,” katanya.

Syed Hamid ditemui media selepas menyampaikan Bantuan Banjir Fasa 3 SPAD
di sini.

Tambah Syed Hamid, pihaknya hanya boleh memberi pandangan dan terpulang
kepada Kementerian Pengangkutan yang mungkin sudah mempunyai perancangan untuk
menambah baik perkhidmatan kereta api berkenaan.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan menyediakan peruntukan untuk
membaik pulih kerosakan landasan kereta api di Kelantan tetapi ia mengambil
tempoh masa yang agak lama untuk disiapkan.

Sistem perkhidmatan kereta api yang cekap amat diperlukan dan akan menjadi
pemangkin kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di kawasan sekitarnya.

Beliau berkata sementara menantikan kerja membaik pulih landasan kereta api
siap, perkhidmatan bas henti-henti milik Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan
(SKMK) digunakan bagi laluan Dabong-Kemubu-Kuala Krai dan Dabong-Kuala
Balah-Jeli.

Tambahnya, setakat ini tiga buah bas digunakan setiap hari bagi memudahkan
urusan harian penduduk serta pelajar sekolah di kawasan berkenaan yang sebelum
ini bergantung kepada perkhidmatan kereta api.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan 12 buah teksi sumbangan Gabungan
Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia kepada mangsa yang
kehilangan teksi akibat bencana banjir. -Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY