JOHOR BAHRU, 12 Ogos – Pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mencari penyelesaian terbaik bagi menangani isu lanjutan lesen pengangkutan perdagangan yang perlu diperbaharui dua tahun sekali yang didakwa membebankan syarikat pengangkutan.

Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata perbincangan itu akan membabitkan pelbagai perkara termasuk isu keselamatan, pengurusan pentadbiran atau mengenai lanjutan tempoh lesen sehingga tujuh tahun.

Katanya, SPAD sedia maklum dakwaan permohonan pengendali pengangkutan perdagangan yang mengatakan lesen perlu diperbaharui setiap dua tahun, selain membabitkan bebanan kertas kerja dan tempoh pemprosesan yang memakan masa.

“SPAD masih melihat kepada perkara ini. Oleh kerana ia membabitkan isu keselamatan, selain isu pentadbiran iaitu permohonan bagi melanjutkan lesen daripada perlu perbaharuinya setiap dua tahun.

“Kita akan menjalankan kajian termasuk perbincangan, jika ia sesuatu yang munasabah, kita akan ambil tindakan yang sewajarnya dan akan memanggil setiap pertubuhan bagi membincangkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Ekspo Bas Trak dan Komponen Johor (JBTC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengusaha Lori Bahan Batuan Johor, Frankie Chia Jee Onn.

Syed Hamid berkata, pihaknya juga akan meneliti perbincangan mengenai lanjutan tempoh lesen berkenaan sehingga tujuh tahun seperti yang pernah dilaksanakan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

Katanya, jumlah permit bagi kenderaan perdagangan awam di Johor mencatatkan sebanyak 53,969 lesen sejak awal tahun ini, dengan kira-kira 35,000 daripada jumlah itu adalah pengangkutan lori.

Dalam perkembangan lain, Syed Hamid berkata, pihaknya akan mengadakan sidang media khas minggu depan mengenai peluang sama rata perkhidmatan teksi, Uber dan GrabCar. – WD MY

LEAVE A REPLY