SPAD Peka Dalam Ambil Kira Pandangan Dan Keperluan Pihak Berkepentingan – Syed Hamid

0
103

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Undang-Undang Khas….. Satu Peruntukan dan seliaan undang-undang khas perlu diwujudkan dalam kalangan pengusaha teksi yang mengunakan sistem e-panggilan selari dengan permintaan pengguna dan aliran pasaran kata Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.

Syed Hamid berkata ia juga  dapat memastikan keselamatan penumpang dan pemandu terus diberikan tumpuan.

“SPAD sentiasa peka dalam mengambil kira pandangan dan keperluan kesemua pihak berkepentingan dalam merangka arah tuju masa depan industri pengangkutan awam.

“SPAD juga sentiasa bersedia dengan sebarang perubahan atau inovasi baharu. Kadang-kadang ada pihak yang mempertikaikan tugas SPAD, namun kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semua peraturan dipatuhi semua pihak termasuk pengendali teksi.

“Kita faham mungkin ada segelintir pihak yang mengambil masa terhadap perubahan yang dilakukan, namun kita harap kerjasama penuh daripada pihak terbabit untuk membuat satu transformasi baharu terhadap pengangkutan awam di dalam negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sistem Tiket Elektronik, ‘Big Blue e-Ticketing’, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), petang semalam.

Syarikat pengendali teksi, Big Blue Taxi Service Sdn Bhd melaksanakan sistem baharu itu kepada semua pemandu teksi di bawah seliaan syarikat itu pada 1 Januari lalu.

Syed Hamid turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara  Big Blue Taxi Service Sdn Bhd dan Cab Auto Sdn Bhd sebagai tanda kerjasama dalam memantapkan penggunaan sistem baharu itu. – WD MY