JASIN, 16 Mei – Tindakan tegas akan diambil terhadap pengusaha
bas ekspres yang didapati menjual tiket pada harga yang lebih mahal terutama
pada musim perayaan atau cuti umum, kata Ketua Penguatkuasa Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Datuk Che Hasni Che Ahmad.

Menurut beliau, SPAD mengesan terdapat pengusaha bas ekspres bersekongkol
dengan ulat tiket untuk menjual tiket pada harga lebih mahal.

Katanya tindakan akan diambil mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam
Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau
penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

“Kami berharap penumpang yang mengalami situasi ini melaporkan kepada SPAD
untuk tindakan,” katanya kepada pemberita selepas operasi bersepadu SPAD
bersama-sama agensi penguatkuasaan lain di Plaza Tol Jasin di sini malam tadi.

Katanya terdapat juga penjual tiket tidak menyerahkan tiket kepada penumpang
bertujuan menutup penipuan kenaikan harga yang dilakukan mereka dan menurutnya
perbuatan itu adalah salah.

Berhubung operasi itu, Che Hasni berkata sebuah pengusaha bas ekspres
disyaki terlibat dengan kegiatan ulat tiket kerana pemeriksaan SDAP mendapati
penumpang ditawarkan harga tiket berbeza-beza dan ada di antaranya tidak
memiliki tiket bas.

“SPAD akan menjalankan siasatan lanjut terhadap pemandu, penumpang
dan pengusaha bas berkenaan bagi tindakan susulan,” katanya.

Katanya sebanyak 59 kes kesalahan dikenal pasti dilakukan pemandu
lori, bas, dan teksi termasuk gagal mengemukakan permit kenderaan atau lesen
pengendali, gagal mengemukakan jadual tambang dan membawa muatan lebih.

Beliau berkata dalam 2,100 operasi harian antara Januari hingga April tahun
ini, teksi didapati paling banyak melakukan pelbagai kesalahan membabitkan 1,495
kes diikuti lori (1,478), bas (561) dan kereta sapu (88).

“Kesalahan tertinggi yang dilakukan pemandu teksi ialah tidak menggunakan
meter dengan jumlah kes sebanyak 1,056 dan SPAD akan terus melakukan operasi dan
penguatkuasaan bagi memastikan mereka menggunakan meter agar penumpang tidak
ditipu,” katanya.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY