KUALA LUMPUR, 23 Julai – Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
(SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden kerosakan brek
Transit Aliran Ringan (LRT) di dua lokasi berasingan.

Menurut Syed Hamid, hasil siasatan dijangka siap dalam masa dua atau tiga bulan
dan jika didapati ada unsur kecuaian atau jenayah, ia akan dikemukakan kepada
Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Mengulas lanjut, beliau berkata jawatankuasa itu akan dianggotai pakar
termasuk wakil daripada SPAD sendiri.

“Hasil laporan akan mengandungi punca kejadian serta cadangan
penambahbaikan, kita juga akan mendapatkan laporan daripada Prasarana Malaysia
Berhad untuk digabungkan dengan laporan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi media hari ini.

Tambah beliau, “Pemantauan terhadap tren memang dijalankan secara berkala mengikut
Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan, mungkin juga ia terjadi
disebabkan cuaca. Oleh itu kita tidak boleh membuat andaian awal.”

Jelasnya, SPAD sentiasa menyiasat jika berlaku sebarang insiden berkaitan
perkhidmatan LRT dan tidak akan berkrompomi bagi menjaga keselamatan penumpang.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai kenyataan Perdana Menteri yang mahu
audit keselamatan dilakukan terhadap perkhidmatan LRT, beliau bersetuju dengan
saranan berkenaan kerana insiden itu dianggap serius.

“Kita memandang serius insiden tersebut kerana ia mengakibatkan kebakaran
dan boleh mengancam nyawa penumpang,” katanya sambil memuji tindakan pantas
Prasarana dalam mengawal insiden berkenaan.

Dalam kejadian semalam, dua tren LRT laluan Kelana Jaya mengalami masalah
sistem brek, satu berdekatan Stesen Universiti, Petaling Jaya pada 8 pagi dan
satu lagi di Stesen Setiawangsa pada 12.18 tengah hari.

Insiden yang menyebabkan kedua-dua tren itu diselubungi asap mengakibatkan
gangguan sementara di laluan tersebut.-Sofea Nawar,Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY