KUALA LUMPUR, 25 SEPT – BUKA….  Semakan daerah mengundi dan pusat mengundi bagi pengundi di Sabah, boleh dilakukan mulai hari ini hingga 10 Oktober depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun, berkata semakan itu boleh dibuat secara dalam talian, di portal rasmi SPR http://www.spr.gov.my.

“Sebarang pertanyaan boleh hubungi ibu pejabat SPR di talian 03-8892 7000 atau pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah di talian 088-488 588,” katanya dalam kenyataan.

Azizan berkata, semakan itu susulan keputusan Dewan Rakyat meluluskan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sabah Kali Keenam Tahun 2017 dan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) (Negeri Sabah) 2019 pada 17 Julai lalu.

Beliau berkata, perintah itu sudah diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan telah diwartakan untuk dikuatkuasa mulai 22 Ogos lalu.

“Susulan daripada pewartaan perintah itu, pengemaskinian daerah mengundi sudah dilaksanakan oleh SPR dan diwartakan pada 24 September 2019 selaras dengan peruntukan Seksyen 7(1), Akta Pilihan Raya 1958 [Akta 19],” katanya. – WD MY