PUTRAJAYA, 17 Okt – Bantahan Persempadanan Semula…. Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 836 representasi bantahan bagi Syor Kajian Persempadanan Semula Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri Sabah dan Tanah Melayu.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, berkata bantahan itu diterima sepanjang tempoh syor itu dipamerkan dan bantahan dibuka selama sebulan yang berakhir 14 Oktober lalu.

“Berdasarkan Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengadakan Siasatan Tempatan bagi mendengar representasi bantahan yang diterima daripada kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) atau sekumpulan orang melebihi 100 orang atau lebih yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian pilihan raya berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Hashim berkata, SPR akan memaklumkan kepada pihak pembantah yang layak mengikut undang-undang melalui surat yang akan dikeluarkan SPR kepada pihak yang terbabit mengenai tarikh, masa dan tempat bagi mendengar representasi bantahan itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dan turut serta dalam proses pameran serta bantahan syor berkenaan. – WD MY