KUALA LUMPUR, 10 Jun – Warga kota dan penduduk di sekitar
kawasan Kampung Kerinchi boleh menarik nafas lega, apabila masalah kesesakan
lalu lintas diselesaikan dengan pembukaan jalan keluar masuk dari Lebuhraya
Sprint ke Kampung Kerinchi hari ini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor,
pembukaan laluan tersebut merupakan satu inisiatif kerajaan untuk menjadikan
Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya bertaraf dunia.

Projek yang menelan belanja kira-kira RM20 juta itu mula dibina pada 28
November 2013 dan siap sepenuhnya pada 4 Mei lalu yang dibiayai oleh Dewan
Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak pemaju swasta

“Kita berharap kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan kerana sebelum ini,
pengguna jalan raya, yang menghala ke kawasan tersebut, terpaksa berdepan dengan
kesesakan lalu lintas di jalan susur masuk dari Lebuhraya Persekutuan,” katanya
semasa merasmikan pembukaan jalan tersebut di sini, hari ini.

Tengku Adnan juga menggalakkan warga kota supaya menggunakan pengangkutan
awam untuk memudahkan urusan harian selain membantu mengurangkan kesesakan lalu
lintas di ibu negara. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY