JOHOR BAHRU,JUN 28: BEKU…Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor hari ini, sehari selepas beliau mengumumkan agihan dana kepada UMNO negeri dan bahagian akan disalurkan semula.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden itu berkata selepas ini tidak mustahil SPRM juga akan membekukan akaun UMNO Johor.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu hari ini dan akaun UMNO Johor hampir pasti akan dibekukan tidak lama lagi.

“Semalam keluar surat, hari ini kena beku,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri UMNO Johor, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, Menteri Dalam Negeri hampir pasti akan meminta Pertubuhan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran UMNO dalam tempoh terdekat.

“Tidak ada jaminan mana-mana Presiden UMNO, Timbalannya, Naib-naib Presiden dan ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) sekiranya menang pada pemilihan kali ini, tidak akan disiasat kerana kita bukan lagi kerajaan. Ini termasuk bekas Menteri Besar,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, sekarang bukan masanya untuk mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya cuba mencari Presiden yang boleh merelevankan UMNO dengan orang ramai.

Katanya, Presiden UMNO mesti mampu menimbulkan semula “kapal yang tenggelam” dan bekerjasama dengan semua timbalan, naib, MT serta ahli di peringkat akar umbi.

“Kita sekarang ini memilih Presiden menghidupkan semula UMNO, ‘membaiki rumah yang terbakar’. Dari 88 kerusi (Parlimen), tinggal 54 dan semalam, tinggal 52.

“UMNO 1.0 ditubuhkan pada 1946 untuk menentang penjajah disebabkan Malayan Union, pada 1988 UMNO diharamkan dan muncul UMNO 2.0.

“Kini, UMNO digugat daripada 13 (komponen Barisan Nasional) kepada tiga, sama seperti Parti Perikatan. Berikutan itu UMNO perlu dirombak dan saya akan rombak UMNO 3.0 ini dari luar dan dalam,” katanya.-MY WD