SHAH ALAM, 7 Okt – TAHAN…… Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pegawai sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tiga kontraktor kerana dipercayai menyeleweng dan salahlaku rasuah berkaitan tiga projek pembaikan dan pemasangan lampu jalan.

Menurut sumber, suspek dipercayai memperakui kerja siap berhubung kerja-kerja segera bagi pemasangan lampu di beberapa lokasi di Ampang, namun kerja itu sebenarnya tidak dilaksanakan.

Sumber berkata, dalam kes pertama pada Februari lalu, seorang penolong jurutera berusia 35 tahun dikatakan memperakui kerja penyelenggaraan yang dilakukan sebuah syarikat kontraktor elektrik bernilai RM19,500.

“Bayaran sudah dibuat kepada syarikat kontraktor itu, namun kerja-kerja itu tidak dilaksanakan. Hasil siasatan mendapati wang itu kemudiannya disalurkan kepada sebuah akaun syarikat lain dipercayai mempunyai kaitan dengan salah seorang suspek.

“Dalam kes itu, dua individu yang masing-masing berusia 32 tahun turut ditahan dan kesemua suspek ditangkap sekitar jam 3 petang tadi di Klang,” katanya.

Sementara itu dalam kes kedua, seorang penolong jurutera berusia 34 tahun dikesan memperakui kerja siap bagi dua projek membaiki kerosakan lampu jalan di Ampang antara bulan Jun hingga November 2016.

“Antara bulan Oktober 2016 hingga bulan November 2016, suspek itu memperakui kerja siap berhubung projek membaiki kerosakan lampu jalan di dua lokasi yang masing-masing bernilai RM19,600 dan RM19,500.

“Antara bulan Jun 2016 hingga Julai 2016 pula, penolong jurutera itu turut memperakui kerja siap berhubung pemasangan lampu jalan di sekitar Dusun Bandar Taman Kosas, Ampang bernilai RM19,700.

“Kedua-dua bayaran itu sudah dibuat kepada syarikat kontraktor elektrik tetapi siasatan mendapati ia disalurkan kepada sebuah lagi akaun syarikat milik jurutera itu,” katanya.

Sumber berkata, dalam kes sama, seorang lagi suspek berusia 43 tahun ditahan juga di Klang.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Klang, pagi ini. – WD MY