KUALA LUMPUR, 24 Jan – Tahan….. Seramai Empat pengurusan kanan FELDA termasuk seorang bergelar Datuk, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), dipercayai menyalahgunakan kedudukan bagi projek penternakan ikan Sturgeon bernilai RM47.6 juta sejak 2014.
Mereka ditahan di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang antara jam 11.30 pagi hingga 1.30 tengah hari tadi, menerusi Operasi Caviar dilancarkan SPRM.
Mereka disyaki terbabit dalam penyelewengan projek Pemindahan Teknologi Penternakan Ikan Sturgeon bernilai kira-kira RM47.6 juta (AS$10 juta) sejak tahun 2014.
Satu mesyuarat diadakan pada Januari 2013 berhubung projek berkenaan sebelum Lembaga Pengarah meminta seorang daripada suspek menyediakan laporan terperinci mengenainya bagi dibentangkan kepada lembaga pengarah.
Bagaimanapun, suspek tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah, Bahagian Perundangan dan Bahagian Kewangan, menubuhkan sebuah syarikat pada Januari 2014 dan menandatangani perjanjian dengan sebuah syarikat penternakan ikan Sturgeon di Korea bernilai AS$45 juta (RM146.25 juta).
Siasatan awal SPRM mendapati, projek berkenaan tidak mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar Pahang manakala pembayaran mula dibuat kepada pihak Korea berkenaan seminggu selepas syarikat ditubuhkan.
Suspek dipercayai sudah meluluskan pembayaran kira-kira AS$10 juta daripada dana FELDA kepada syarikat Korea berkenaan tanpa pengetahuan dan kelulusan Lembaga Pengarah.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu. – WD MY