BALIK PULAU, 28 Sept – TOLAK…. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetap menolak cadangan penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) kerana ia boleh mengganggu usaha suruhanjaya itu dalam membanteras rasuah di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, menegaskan tiada keperluan untuk menubuhkan jabatan baharu yang mempunyai fungsi dan tugas hampir serupa dengan agensi penguatkuasaan lain.

“Tiada keperluan pun untuk tubuhkan jabatan baharu kerana kita sudah ada SPRM, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) dan Institut Integriti Malaysia (IIM).

“Bagi saya, ini adalah satu pembaziran yang nyata. Lebih baik peruntukan untuk tubuh jabatan baharu itu disalurkan kepada agensi penguatkuasaan lain, khususnya polis,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Kembara Jelajah Anti Rasuah 2017 di Madrasah Raiyah Islamiah di sini, hari ini.

Beliau mengulas kelulusan Kabinet bulan lalu yang menaik taraf Bahagian Integriti dan Tadbir Urus di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai jabatan penuh yang dikenali sebagai JITN.

Pagi tadi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Paul Low Seng Kuan, berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti bagaimana hendak menambah baik keberkesanan penubuhan JITN, sekali gus memastikan tiada pertindihan fungsi penggunaan sumber dan tenaga manusia dengan agensi kerajaan lain.

Katanya, penubuhan JITN tidak mengganggu bidang kuasa SPRM, sebaliknya ia bertujuan meneraju transformasi institusi penjawat awam.

JITN akan berperanan sebagai badan penyelaras untuk menerajui perubahan transformasi dalam sektor awam serta swasta yang menumpukan pada tadbir urus baik, integriti dan hak asasi manusia. – WD MY