ALOR SETAR, 14 Mei – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani
menyasarkan Malaysia mencapai Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran padi mencecah
100 peratus pada tahun 2020.

Menurut Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tahap SSL pengeluaran padi
negara pada kadar 100 peratus pada 2020 merupakan sasaran baharu, berbanding
sasaran sebelum ini pada tahap 70 hingga 75 peratus pada 2020.

“Kerajaan membelanjakan RM2.2 bilion daripada keseluruhan belanjawan
kementerian sebanyak RM6 bilion pada tahun ini untuk membantu pesawah padi
negara ini meningkatkan pengeluaran padi mereka dan kerana itulah kita mahu
tahap SSL pengeluaran padi mencapai tahap 100 peratus pada 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Peladang Lembaga
Kemajuan Pertanian Muda (MADA) 2015 dan melancarkan Pelan Korporat MADA, yang
turut dihadiri pengerusinya Datuk Othman Aziz di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata setiap tahun Malaysia mengimport kira-kira 900,000
metrik tan beras dan ia tidak termasuk kira-kira 1 juta metrik tan beras yang
dipercayai diseludup masuk menerusi sempadan negara.

Katanya untuk mencapai tahap SSL sebanyak 100 peratus pada 2020, kementerian
telah merangka pelbagai strategi dan projek termasuk membelanjakan RM2.2 bilion
untuk menaik taraf sistem pengairan di kawasan MADA bagi membantu pesawah
menambah pengeluaran padi mereka.

Menurutnya projek menaik taraf sistem pengairan itu dijangka bermula tidak
lama lagi dengan proses pemilihan kontraktor telahpun selesai.

Salah sebuah kontraktor yang terpilih melaksanakan projek itu, katanya
adalah anak syarikat MADA sendiri.

Beliau berkata dalam usaha untuk meningkatkan tahap SSL pengeluaran padi,
kementerian meletakkan sasaran supaya setiap pesawah padi dapat menghasilkan
pengeluaran kepada tujuh tan sehektar dari enam tan sehektar ketika ini.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY