BATU KURAU, APRIL 20:SSM…Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperuntukkan RM1.5 juta dalam bentuk geran bantuan di bawah program Bizgrant bagi membantu usahawan memulakan perniagaan.

Peruntukan tersebuat adalah sebahagian daripada RM10 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, baru-baru ini, untuk diagihkan kepada usahawan yang layak di seluruh negara kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“Daripada tinjauan dilakukan, mereka benar-benar bersemangat menjalankan perniagaan.

“Setakat ini usahawan dari dua negeri iaitu Perak dan Sabah sudah mendapat bantuan itu,” katanya selepas penyampaian program penyampaian bizgrant SSM di Sempeneh, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, usahawan dari Sarawak bakal mendapat bantuan geran terbabit bulan depan sebelum diteruskan ke negeri lain.

Katanya, bantuan Bizgrant membolehkan usahawan mendapat bantuan barangan dan perkakasan berjumlah RM3,000 setiap seorang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, sejak diumumkan bulan lalu, lebih 10,000 usahawan membuat permohonan mendapatkan geran perniagaan itu.

“Kita sudah mengadakan panel temu duga di beberapa negeri seluruh negara dan akan berterusan sepanjang tahun ini sehingga peruntukan geran itu habis.

“SSM akan memantau dalam tempoh enam bulan awal bagi memastikan penerima betul-betul menjalankan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata, jika didapati 80 peratus daripada mereka benar-benar menjalankan perniagaan, bantuan tambahan akan diberikan kemudian.-MY WD