ALOR SETAR, SEPTEMBER 1:ADUAN SST….Kebanyakan aduan yang diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung pada hari pertama pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) hari ini melibatkan restoran dan premis menjual makanan.

Justeru menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mahu supaya tumpuan diberikan kepada sektor berkenaan bagi memastikan para pengguna mendapat hak masing-masing untuk membayar harga sepatutnya tanpa dikenakan caj berlebihan.

“Keadaannya sama seperti sewaktu sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar, Jun lalu di mana lebih separuh daripada 4,000 aduan diterima ketika itu melibatkan sektor sama.

“Disebabkan itu saya akan beri arahan kepada pasukan pemantau bersama Majlis Harga Barangan Negara untuk memberi lebih tumpuan kepada premis sektor berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Telagamas Motors Sdn. Bhd. di Taman Kempas 2 di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Bahagian Penguatkuasaan kementerian, Datuk Mohd. Roslan Mahyuddin, Pengarah Kastam negeri, Datuk Johari Alifiah serta Pengarah KPDNHEP negeri, Mohamad Fitri Hassan.

Begitu pun katanya, secara keseluruhan pelaksanaan sistem tersebut hari ini berjalan lancar tanpa ada sebarang masalah besar.

“Bagi memastikan tiada pihak yang mengambil keuntungan tidak munasabah ekoran pelaksanaan SST, bermula hari ini juga kami telah melancarkan Operasi Catut 5.0 terhadap setiap rantaian perniagaan terdiri daripada sektor pengilangan, pengimportan, edaran, borong dan peruncitan di seluruh negara.

“Operasi ini akan dilaksanakan oleh kesemua 2,300 penguatkuasa kami bersama Kastam dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). Antara perkara diberi perhatian dalam operasi tersebut adalah perbuatan mencatut, tanda harga, petunjuk atau gambaran mengelirukan serta aspek pengeluaran resit dan invois belian,” katanya.

Sementara itu katanya, pihak kementerian turut membuka bilik gerakan yang beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 10 malam bermula hari ini bagi memudahkan pengguna membuat aduan di seluruh negara.

“Terdapat beberapa saluran untuk orang ramai membuat aduan atau pertanyaan antaranya menerusi talian bebas tol 1-800-886-800, portal rasmi KPDNHEP serta media sosial seperti Twitter dan Facebook rasmi kami,” katanya.-MY WD