KUALA LUMPUR, 24 Feb – Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata status Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh akan hanya ditentukan selepas petisyen pengampunan diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurut Pandikar Amin, beliau hanya boleh mengemukakan pemberitahuan selaras dengan Perkara 54 Perlembagaan Persekutuan mengenai kekosongan kerusi Parlimen Permatang Pauh sebaik sahaja kehilangan kelayakan anggota Parlimen Permatang Pauh mula berkuat kuasa mengikut perenggan (c) Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh kerana petisyen pengampunan diraja oleh keluarga Anwar itu telah difailkan di bawah perenggan (c), Fasal (4) Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan, maka sesuatu kehilangan kelayakan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh akan mula berkuat kuasa sebaik sahaja petisyen itu dibereskan oleh Yang di-Pertuan Agong, katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Tambah Pandikar Amin yang mengesahkan telah menerima sesalinan petisyen bagi suatu pengampunan pada hari ini yang difailkan isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta dua anak mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, bagi pihak Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong.

Petisyen pengampunan itu berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY