GELANG PATAH, 21 Nov – MENGHADAP….. Pelakon aksi terkenal Hollywood, Steven Seagal, menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Bekas pengajar seni mempertahankan diri yang juga terkenal dengan lakonan filem ‘blockbuster’ seperti Under Siege dan Hard to Kill mengadakan pertemuan tertutup ketika makan tengah hari bersama Sultan Ibrahim selama dua jam di Forest City semalam.

Bulan lalu, pelakon berusia 65 tahun itu bertemu dengan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, bagi membincangkan beberapa perkara termasuk kegiatan penyalahgunaan dadah.

Beberapa gambar dimuat naik dalam laman rasmi Facebook Sultan Ibrahim sejak pagi tadi sehingga kini mendapat lebih 5,000 ‘Likes’ dan dikongsi lebih 500 kali sehingga petang tadi.

Seagal juga pernah membintangi siri televisyen realiti popular, Steven Seagal: Lawman, dengan memainkan peranan sebagai Timbalan Sherif di Louisiana, Amerika Syarikat. – WD MY